Lebih Dari 70,000 Umat Nabi SAW Masuk Syurga Tanpa Hisab, Siapakah Mereka?

Soalan:

Salam.maksud hadis:masok syurga 70000 tanpa hisab.saya ada baca dikatakan dlm 70000 itu tiap2 seorang akan membawa seramai 70000 juga masok syurga tanpa hisab.ini bermakna seramai 4900 juta masok syurga tanpa hisab.saheh ke kenyataan itu?mohon pencerahan ust.tkasih.

Jawapan:

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan dinilah Sahih bersama syawahid oleh alAlbani di dalam alSilsilah alSahihah, hadis bilangan 1484, Nabi SAW bersabda:

أعطيت سبعين ألفاً من أمتي يدخلون الجنة بغير حساب، وجوههم كالقمر ليلة البدر، قلوبهم على قلب رجل واحد، فاستزدت ربي عز وجل، فزادني مع كل واحد سبعين ألفاً

Maksudnya: “Dikurniakan kepadaku sebanyak 70,000 umatku akan masuk ke dalam syurga tanpa hisab. Wajah mereka (berseri-seri) seperti bulan purnama, mereka bersatu satu hati. Aku minta ditambahkan kepada tuhanku ‘azza wa jalla. Lalu Dia tambahkan untukku bagi setiap seorang dari mereka itu 70,000 orang pula.”

Hasil tambah 70,000 x 70,000 ialah 4,900,000,000 atau 4 bilion 900 juta/4.9 billion).

Namun berdasarkan riwayat yang lebih kuat adalah bagi setiap 1000 dari 70,000 akan ditambah 70,000 lagi, menjadikan jumlah krseluruhan ialah 4 juta, 900 ribu orang (4.9 juta).

Bahkan sebenarnya jumlah umat Nabi SAW yang akan masuk ke dalam syurga tanpa hisab adalah lebih ramai dari 4 juta, 900 ribu ini. Berapa jumlahnya?

Jumlah yang tak dapat kita pastikan bilangannya. Hal ini berdasarkan hadis lain yang dirieayatkan oleh alTirmizi, Ahmad dan Ibn Hibban dan dinilai Sahih oleh alAlbani di dalam Sahih alTirmizi, baginda bersabda:

وعدني ربي أن يدخل الجنة من أمتي سبعين ألفاً بلا حساب عليهم ولا عذاب، مع كل ألف سبعون، وثلاث حثيات من حثيات ربي

Maksudnya: “Tuhanku telah berjanji kepadaku, akan masuk ke dalam syurga seramai 70,000 orang dari kalangan umatku tanpa hisab dan tanpa dikenakan sebarang azab. Bersama setiap seribu, ditambah 70,000 lagi, dan tiga hashayat dari tuhanku.”

Berapa banyakkah 3 hashayat itu? Apakah pula yang dimaksudkan dengan hashayat?

alMubarakfuri ketika mensyarahkan hadis ini berkata: ثلاث حثيات tiga hashayat dengan dibaris fathah huruf ح dan ث adalah kata plural untuk Hathyah حثية. Kalimah al-Hathyah الحَثْيَة dan al-Hathwah الحَثْوَة digunakan bagi merujuk kepada apa-apa pemberian menggunakan dua telapak tangan tanpa menghiraukan timbangan dan jumlah. (Lihat Tuhfah alAhwazhi 7/129)

Oleh itu, jumlah umat Nabi SAW yang akan masuk ke dalam syurga tanpa hisab dan tanpa dikenakan sebarang azab adalah begitu ramai tidak terhad kepada jumlah 4 juta, 900 ribu sahaja.

Lebih menarik di dalam hadis lain dinyatakan:

مُتَمَاسِكُونَ، آخِذٌ بَعْضُهُمْ بَعْضاً. لاَ يَدْخُلُ أَوَّلُهُمْ حَتَّى يَدْخُلَ آخِرُهُمْ

Maksudnya: “mereka saling berpegangan tangan sesama mereka. Tidak akan masuk orang yang pertama sehingga masuk juga orang yang terakhir dari kalangan mereka serentak.”

Mereka saling berpegangan tangan, mereka masuk bersama di dalam satu saf ke dalam syurga, setiap orang berada di sisi seorang lagi. (Lihat Syarh Sahih Muslim oleh alNawawi 3/87)

Siapakah mereka? Hadis membuktikan mereka orang-orang yang bersatu hati yang Nabi ungkapkan sebagai قلوبهم على قلب رجل واحد. Nabi SAW juga bersabda, mereka ialah orang-orang yang tidak minta dijampikan, tidak minta dirawat secara Kai, tiada anggapan sial dengan sesuatu, mereka juga adalah orang-orang yang kuat bertawakkal kepada tuhan mereka.

Ya Allah jadikan kami dari kalangan mereka.